11th April 2012 (Rabu)
Selesai sahaja solat Subuh berjamaah, kami terus bersarapan di dalam bilik hotel. Masih terdapat Kebab semalam yang tidak dihabiskan ditambah dengan Campbell Mushroom Soup. Masalahnya, bilik kami tidak terdapat sebarang gelas atau cawan. Sangat aneh, macamana hotel sebegini moden tidak meletakkan gelas dalam biliknya? Tak mengapa kami masih mempunyai beberapa peralatan yang boleh ditukar menjadi cawan...
Semasa isteri menyiapkan sarapan, saya sempat membuka laptop dan bersedia dengan pembentangan kertas kerja. Semuanya telah disiapkan sebelum saya tiba di Itali, hanya sekadar menyemak sebarang kekurangan yang ada. Sempat juga berlatih untuk pembentangan sambil dikritik hebat oleh isteri saya yang setia menjadi pendengar. Terima kasih diucapkan, saya sudah bersedia!
![]() |
| Di lobi hotel... |
Selepas bersarapan, saya terus ke bangunan hotel di blok sebelah untuk pendaftaran. Cuaca pagi agak mendung, berangin dan sejuk. Kami bergerak tergesa-gesa ke tempat pendaftaran untuk mendapat tempat yang terawal. Namun, setibanya kami di sana, terdapat ramai peserta yang sudah mula beratur. Pendaftaran yang bermula pada waktu pagi agak kurang memuaskan dari segi pengurusan kerana hanya terdapat satu kaunter sahaja untuk menguruskan peserta yang ramai. Sepatutnya, mana-mana peserta yang sudah selesai membuat pembayaran perlu diletakkan pada kaunter khas kerana mereka hanya perlu mengambil bahan-bahan yang telah disediakan sahaja. Bagi peserta yang mempunyai masalah, mereka akan diminta untuk ke kaunter yang lain.
![]() |
| Di hadapan lagun... Blok hotel kami di sebelah kanan gambar.... |
Sambil saya beratur, sempat juga berkenalan dengan beberapa peserta yang lain. Ada yang datang dari Iceland, UK, German dan pelbagai negara yang lain. Sesi saya adalah yang pertama pada sebelah pagi. Jadual pembentangan telahpun saya terima lebih awal melalui internet. Terdapat juga pembentang dari Malaysia pada sesi yang sama dengan saya. Setiap peserta diperuntukkan 15 minit untuk pembentangan. Terdapat 2 bilik pembentangan yang berjalan serentak.
Sebaik sahaja selesai mendaftar, saya terus ke bilik pembentangan untuk persediaan. Malangnya, pengerusi majlis yang dilantik tidak kunjung tiba. Sebagai inisiatif sendiri, seorang pembentang, Azher Hameed Qamar yang sedang belajar di Norway, menawarkan diri menjadi pengerusi dan majlis diteruskan dengan pembentang kertas kerja pertama iaitu Dr. Noor Sulastry. Saya merupakan pembentang kertas kerja kedua. Selesai pembentangan, hanya terdapat 1 soalan sahaja yang diajukan kepada saya. Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk menjawabnya. Di tengah-tengah sesi pembentangan seorang peserta, tiba-tiba masuk seorang lagi peserta yang menyatakan bahawa beliau ialah pengerusi majlis untuk sesi pagi itu. Dr. Anna Christopher memaklumkan bahawa beliau terlambat masuk kerana proses pendaftaran yang agak mengambil masa. Dan beliau rupanya dari Malaysia, sama seperti kami! Ada 3 orang pembentang dari Malaysia pada sesi pagi itu.
![]() |
| Pembentangan bermula... |
Apabila selesai semua pembentangan, jam telah menunjukkan jam 11 pagi. Terasa amat sejuk di dalam bilik pembentangan, kerana rupa-rupanya di luar hujan renyai-renyai sedang turun. Saya mengajak isteri untuk pulang ke bilik hotel. Berlari meredah hujan renyai bukan masalah besar. Sesampai kami di bilik hotel, baru kami sedari bahawa telefon tangan sudah kehabisan bateri. Masalahnya, plug yang kami bawa tidak boleh digunakan di Itali. Mereka mempunyai sistem plug yang sedikit berbeza. Saya pula terlupa untuk membeli plug antarabangsa untuk di bawa ke sini. Saya cuba juga untuk meminjam di kaunter hotel, malangnya semua plug sedang digunakan atau dipinjam oleh peserta seminar. Saya tiada pilihan lain melainkan keluar ke bandar Mestre untuk membeli plug.
![]() |
| Sebelum pembentangan bermula... |
Jam sudah menunjukkan hampir 1 tengahari. Saya memberanikan diri untuk berjalan seorang diri untuk pergi ke kedai yang terletak di jalan Corso Popolo. Isteri saya biarkan berehat seorang diri di dalam hotel. Saya rasa memang saya pernah ternampak kedai yang menjual peralatan elektrik di Corso Popolo. Sesampai sahaja saya di jalan Corso Popolo, saya terus ke kedai supermarket yang terletak berdekatan hotel Delfino. Malangnya, saya tidak bertemu dengan plug antarabangsa. Saya terpaksa keluar untuk mencari kedai-kedai serbaneka. Amat menghairankan kerana semua kedai-kedai kecil tutup pada waktu tengahari. Baru saya perasan, rupa-rupanya di Itali, waktu makan tengahari semua kedai akan tutup kecuali kedai makan! Seronok melihat ahli-ahli keluarga makan tengahari bersama. Kedai akan dibuka semula jam 3 petang...
Saya meneruskan berjalan kaki pulang ke hotel. Penat, lapar, semuanya ada... Sesampai di bilik, isteri saya sudahpun menyediakan makan tengahari. Kami makan sambil menunggu cuaca untuk kembali cerah. Harap-harap kami boleh pergi ke pulau Venice pada petang nanti. Dan harap-harap juga kami akan bertemu dengan plug yang amat-amat diperlukan untuk mengambil gambar di Venice!
![]() |
| Tiket bas pergi balik ke pulau Venice dari bandar Mestre... |
![]() |
| Trem di tengah bandar Mestre... |
Meskipun hari sudah lewat petang, kami terus berjalan kaki untuk ke jalan Corso Popolo dan mengambil bas di situ. Tiket bas perlu dibeli lebih awal. Ia berharga dalam €1.50 untuk seorang bagi tambang pergi balik. Agak berbaloi bagi saya untuk menaiki bas.
![]() |
| Hentian bas yang terakhir di pulau Venezie... Bas ke Corso Popolo bernombor 4L... |
Setelah menaiki bas, tiket itu perlu diletakkan di mesin pengimbas sebagai tanda kita telah menaiki bas. Tiada siapa yang akan memeriksa tiket kita. Tiada konduktor, malah pemandu bas pun tidak mengambil tahu sama ada penumpang sudah mengimbas tiket atau belum. Ia hanya atas dasar amanah dan saling mempercayai. Sistem ini belum boleh diaplikasikan di Malaysia, kerana ramai orang yang akan mengambil peluang ini untuk tidak membeli tiket bas.
![]() |
| Venice banyak jambatan... kelihatan titisan hujan yang turun hampir sepanjang hari... |
Sepanjang perjalanan, mata kami terpukau dengan suasana air lautan Mediterranean yang luas mata memandang. Terdapat banyak kapal-kapal besar berlabuh berdekatan tanah besar Mestre. Suasana sangat cantik pada waktu petang dengan warna oren matahari yang sudah mula condong ke Barat. Bandar Mestre dan pulau Venice dihubungkan oleh jalan raya dan jalan keretapi. Kami tiba di kepulauan Venice, tempat hentian bas yang terakhir.
![]() |
| Kesejukan pada waktu senja di Venezie... Suasana klasik jelas kelihatan.. |
Alhamdulillah, syukur pada Allah, pertama kali kami menjejakkan kaki ke kepulauan Venice! Venice, sebuah nama yang masyhur di kalangan penduduk dunia, kini berada di hadapan kami.
![]() |
| Lampu sudah mula dipasang, menandakan malam mula merangkak tiba... |
Tidak banyak tempat yang sempat kami lawati, hanya beberapa tempat sahaja di sekitar kawasan hentian bas. Ini kerana memandangkan hari yang makin gelap dan kami sendiri tidak biasa dengan keadaan di pulau itu pada waktu malam. Selepas berada beberapa lama di situ, kami mula bergerak ke hentian bas untuk mengambil bas ke jalan Corso Popolo.
![]() |
| Sejuk... |
Sebaik turun dari bas, kami berjalan dengan penuh keletihan menuju ke hotel. Sekurang-kurangnya kami sudah tahu cara untuk ke sana. Kepuasan jelas terpancar di wajah isteri saya... Venezie, here we come!











No comments:
Post a Comment