10th April 2012:
Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Marco Polo, Venice lebih kurang jam 2:30 pm. Lapangan terbangnya tidaklah terlampau besar, namun cukup untuk menampung jumlah kapal terbang pelancong yang agak banyak. Rasa-rasanya, lebih kurang besar LCCT. Lapangan terbang ini tidak terletak di kepulauan Venice, ia masih sebahagian dari tanah besar Itali.
Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Marco Polo, Venice lebih kurang jam 2:30 pm. Lapangan terbangnya tidaklah terlampau besar, namun cukup untuk menampung jumlah kapal terbang pelancong yang agak banyak. Rasa-rasanya, lebih kurang besar LCCT. Lapangan terbang ini tidak terletak di kepulauan Venice, ia masih sebahagian dari tanah besar Itali.
![]() |
| Selamat Datang! |
Urusan di kaunter imigresen berjalan lancar. "Bon gior noh" atau selamat pagi merupakan ungkapan yang sempat saya hafal sebelum sampai ke sini, namun masalahnya sekarang bukan waktu pagi! Sepatutnya saya perlu menghafal beberapa perkataan mudah sebelum tiba di kaunter imigresen. Orang Itali pun bukan semuanya boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Sebaik tiba di kaunter imigresen, saya hanya mampu tersenyum dan menyebut beberapa ungkapan bahasa Inggeris. Pegawai lelakinya agak segak dengan uniform putih, macam model, tinggi dan berhidung mancung, kulitnya putih. Tidak banyak yang ditanya kepada saya. Sesekali saya menjeling juga ke kaunter sebelah kerana ternyata pegawai imegresen itu kurang berpuas hati dengan penjelasan oleh pemuda Arab. Islamophobia gamaknya!
Sebaik keluar dari lapangan terbang, kami terus beratur mengambil teksi. Teksi amat mudah didapati, sudah pun beratur panjang menunggu penumpang. Kebetulan pemandu teksi kami bukannya lelaki. Amat jarang bertemu pemandu teksi wanita di luar negara. Kenderaan di Venice semuanya left-hand drive. Agak kekok melihat mereka membawa kereta.
![]() |
| Nombor bilik hotel NH Laguna... |
Teksi terus meluncur laju menelusuri jalan raya di Venice. Kami memerhatikan suasana sekeliling, Venice masih lagi memelihara suasana klasiknya. Dengan rumah satu tingkat yang dibina sebuah-sebuah, dipagari dengan kehijauan rumput dan bunga-bungaan yang berwarna warni amat menarik diperhatikan. Terdapat juga kawasan-kawasan berair seperti paya, namun airnya tidak secetek air paya. Sememangnya kawasan ini berada di kawasan tanah rendah, kerana air laut akan mudah memasuki kawasan daratan.
Menurut pemandu teksi itu, harga tanah di Venice amat mahal. Kebetulan dia ialah antara penduduk asal di situ, jadi beliau tidak menghadapi masalah untuk mewarisi tanah yang dimiliki oleh keturunannya.
![]() |
| Papan tanda menuju ke hotel... |
Perjalanan yang bermula dengan pemandangan padang rumput dan bunga-bungaan berubah sebaik kami mula memasuki bandar Venice. Di sini, nama jalan bermula dengan nama Via. Kenderaan sudah agak mula sibuk, namun masih tidak sesak. Kami sedang menuju ke hotel NH Laguna yang terletak di bandar Mestre, Venice.
![]() |
| Bergambar bersama pemandu teksi wanita di hadapan hotel NH Laguna... |
Teksi kami tiba lebih kurang selepas 30 minit perjalanan, yang saya agak lebih kurang 30 km juga dari lapangan terbang Marco Polo. Kami dikenakan bayaran €30, wow agak mahal kalau ditukarkan kepada RM. Tapi, bagi mereka di sana, €30 adalah lebih kurang RM30 di sini. Pemandu tadi sempat juga berpesan kepada kami untuk terus pergi ke pulau Venice pada hari itu juga kerana cuaca amat baik berbanding hari-hari yang lain. Kami mengucapkan terima kasih atas nasihat dan layanannya yang amat baik.
| Bot-bot kecil yang terletak antara 2 blok... Inilah yang dipanggil lagun... |
Rupanya hotel NH Laguna mempunyai 2 blok. Kami mendaftar di blok sebelah, namun bilik kami terletak di blok yang lain. 2 blok dipisahkan oleh air lagun yang datang dari laut. Kelihatan bot-bot kecil diletakkan antara 2 blok ini. Amat cantik dan menarik. Sempat juga bertemu dengan pembentang kertas kerja yang datang dari Malaysia, sepasang suami isteri yang datang bersama anak kecil mereka.
![]() |
| Berlatarbelakangkan bot-bot kecil... Amat menarik... |
Kami perlu berjalan sedikit dengan beg yang agak berat untuk ke blok sebelah, dan itu tidak menjadi masalah kerana cuaca yang agak sejuk meskipun sudah jam 4 petang. Isteri saya pula memang sengaja tidak membawa baju sejuk kerana menyangkakan suhu di musim bunga tidak terlampau sejuk. Saya rasa suhu mencecah 8-10 darjah celcius. Sejuk dan berangin...
Sebaik memasuki bilik dengan rekabentuk moden dan simple, kami menunaikan solat zohor dan asar secara jamak dan qasar dan seterusnya memulakan pengembaraan kami di bandar Mestre, Venice untuk mencari sesuap makan malam. Kami sempat mendapat maklumat dari rakan kami yang baru dikenali tentang kewujudan restoran Muslim yang menjual Pizza dan Kebab di Via Carducci.
![]() |
| Jalan raya yang tenang dan selamat... |
Kami berjalan di sepanjang Via Torino menuju ke Corso Popolo. Corso Popolo merupakan jalan besar dan kami dimaklumkan bahawa kami boleh mengambil bas di situ untuk ke pulau Venice. Matahari makin terbenam, kami perlu segera ke Via Costa untuk mencari kedai Muslim. Kelihatan gereja dan ukiran-ukiran patung lelaki dan perempuan banyak di bandaraya ini. Alhamdulillah, sempat tiba di kedai itu sebelum ia ditutup. Penjualnya boleh bercakap Arab dan kami berkomunikasi dalam bahasa Arab. Kami membeli Pizza dan Kebab untuk dimakan. Nama kedainya ialah Jerusalem. Di situ juga kami bertemu dengan beberapa orang Muslim, kebanyakannya dari Negara Arab dan Bangladesh.
Dalam perjalan balik ke hotel melalui Corso Popolo, kami dapat melihat dengan jelas suasana kehidupan masyarakat Mestre. Mereka amat mementingkan hidup berkeluarga, sempat keluar bersama keluarga pada waktu petang dan bermain dengan anak-anak. Pemandu bas dan kereta juga amat menghormati pejalan kaki. Apabila kami melintas jalan di tempat pejalan kaki, kami tidak perlu berhenti berjalan untuk melintas, tetapi bas pula yang berhenti untuk memberi laluan kepada kami! Itulah perkara yang tak pernah lagi saya lihat berlaku di Malaysia, bas memberi laluan kepada pejalan kaki...
![]() |
| Berposing dengan jaket labuh yang baru dibeli... |
Oleh kerana cuaca yang agak sejuk, isteri saya terpaksa juga membeli jaket dan sarung tangan untuk mengelak dari terlampau sejuk. Membeli di Itali, barang-barangnya agak bergaya dan mahal! €38 untuk jaket panjang dan €8 untuk sarung tangan. Fuh, kalau di tukar kepada RM mesti rasa tak berbaloi, tapi itulah harga paling murah yang kami boleh dapat. Yang lebih menarik, penjual di kedai itu ialah orang Cina yang fasih bercakap Itali! Sekurang-kurangnya saya sudah membelikan sesuatu untuk isteri saya.
![]() |
| Matahari sudah mula terbenam... |
Kami tiba di hotel dalam keadaan penat kerana berjalan kaki yang agak jauh. Tambahan pula, kami masih belum sempat rehat selepas melalui perjalanan dengan kapal terbang yang agak lama. Selepas solat maghrib dan isyak jamak dan qasar, kami tertidur kepenatan tanpa saya sempat bersedia untuk pembentangan esok hari...








No comments:
Post a Comment