12th April 2012 (Khamis)
![]() |
| NH Laguna ke Stazione Di Venezia Mestre |
Selepas menunaikan solat subuh berjamaah, kami bersiap-siap untuk bersarapan dengan bekalan yang dibawa dari Malaysia. Sambil-sambil bersarapan, kami sempat menonton video "Dalam Mihrab Cinta" melalui laptop. Jalan ceritanya agak menarik. Inilah kali pertama saya menonton video ini kerana di rumah, kebiasaannya sukar untuk mencari masa kosong selama hampir 2 jam semata-mata untuk menonton video.
![]() |
| Di hadapan hotel, pagi yang masih dingin... |
Alhamdulillah, pagi ini cuaca agak baik. Sinar matahari kelihatan bersinar meskipun masih terlindung dengan awan putih. Harap-harap cerah hingga ke petang. Hari ini kami merancang untuk mengembara seharian ke pulau Venice. Kami keluar dari hotel sudah agak lewat, hampir jam 10 pagi. Masih terasa keletihan perjalanan kapal terbang, ditambah pula dengan keletihan berjalan kaki untuk mencari restoran Muslim semalam.
![]() |
| Kak Gayah di sebelah kanan serta rakannya berbaju merah... |
Sebaik keluar dari hotel, kami bertemu dengan seorang lagi peserta seminar dari Malaysia, Puan Rogayah. Beliau datang bersama rakannya. Meskipun baru pertama kali berjumpa, terasa seolah-olah sudah lama kenal. Begitulah resam berada di perantauan. Beliau menceritakan tentang perancangannya untuk ke bandar Milan pada keesokan hari. Sedangkan kami pula merancang untuk ke bandar Rome yang lebih jauh ataupun hanya menghabiskan masa di pulau Venice. Selepas bertukar-tukar nombor telefon, kami bersetuju untuk bersama-sama ke Milan. Masalahnya ialah, kami belum lagi membeli tiket keretapi ke Milan sedangkan dia sudahpun membelinya sejak dari Malaysia lagi! Tak mengapa, mudah-mudahan kami akan mendapat tiket ke Milan. Mudah-mudahan juga kami akan dapat duduk dalam keretapi yang sama ke Milan. Kami turut mengajak Kak Gayah untuk ke Venice, namun beliau nampaknya sudah mempunyai perancangan lain.
![]() |
| Stazione Di Venezia Mestre |
Lalu kami mula menyusun semula perancangan kami. Perkara pertama yang perlu kami selesaikan ialah untuk membeli tiket keretapi ke Milan. Tidak ada cara lain, melainkan kami perlu menapak berjalan kaki ke Stazione Di Venezia Mestre. Perjalanan agak jauh. Dari hotel, melalui Via Torino, lalu menyeberang ke Via Linghindal. Suasana agak sunyi pada sebelah pagi, mungkin kerana ramai yang sudah masuk ke pejabat. Sesampai di hujung jalan, kami bertemu bulatan kecil dan mengambil arah ke kanan, terus melalui Via ca Marcello dan Viale Stazione. Laluan ini telah diajar oleh penjaga kaunter hotel.
![]() |
| Pintu masuk tempat membeli tiket... |
Saya mula terasa tidak selesa kerana suasana yang agak lengang dan sunyi dari laluan utama. Bangunan-bangunan kilang, kawasan letak kereta, kawasan industri dengan asap kilang, contengan grafiti di dinding, semuanya membangkitkan memori saya tentang cerita movie bercorak penyiasatan seperti CSI. Kawasan jenayah! Mulalah terasa menyesal kerana tidak menaiki bas. Namun, memikirkan perjalanan yang agak pendek, agak tidak berbaloi untuk menghabiskan 1.50 euro seorang untuk menaiki bas. Tidak berapa lama kemudian, selepas berjalan lebih kurang 2 kilometer, alhamdulillah, kami bertemu dengan Stazione Di Venezia Mestre.
![]() |
| Stazione Di Venezie Mestre |
Stesen keretapinya agak besar dengan 4 laluan keretapi. Setibanya kami di sana, kelihatan beberapa buah hotel yang terletak berdekatan dengannya. Bas juga banyak yang keluar masuk ke stesen ini. Mungkin idea yang sangat menarik, iaitu menginap di hotel yang berdekatan dengan stesen keretapi dan stesen bas! Saya terus segera mencari kaunter tiket, kerana ingin mengejar masa untuk ke pulau Venice selepas ini. Apabila saya pergi ke kaunter tiket, saya agak tergamam. Terdapat 6 atau 7 kaunter, tetapi hanya 3-4 sahaja yang mempunyai penjaganya. Masalahnya, hampir semua papan tanda arahan adalah dalam bahasa Itali!
![]() |
| Suasana di pekan kecil Itali... |
Saya terus keluar mencari kaunter travel agent, kerana saya pasti mereka boleh membantu saya. Saya terus bertanyakan kepada travel agent sama ada saya boleh membeli tiket keretapi ke Milan di situ. Alhamdulillah, jawapannya positif. Tanpa berfikir panjang, saya terus bertanyakan masa yang sama seperti yang diberitahu oleh Kak Gayah. Penjaga kaunter tersebut menyatakan train tersebut masih terdapat kekosongan.
![]() |
| Kebersihan stesen amat dijaga... |
Alhamdulillah sekali lagi, peluang untuk kami menyertai Kak Gayah ke Milan terbuka luas. Saya terus membayar harga tiket untuk 2 orang. 140 Euro dengan tambahan 10 Euro sebagai service charge, semuanya berjumlah 150 Euro. Hmmm, berbaloi ke? Perjalanan pergi balik hampir 600 km dengan Trenitalia, 70 Euro seorang, hampir RM280! Kalau nak dibandingkan naik ETS, Ipoh-KL, RM 60 lebih kurang pergi dan balik, 400 kilometer. Mahalnya kalau ditukar matawang. Tapi, saya rasa berbaloi dari segi harga, kerana di sini, nilai 1 Euro itu macam RM 1 di Malaysia. Maka, Euro 70 untuk pergi balik adalah normal bagi mereka, seperti RM60 pergi balik KL-Ipoh, bahkan terdapat pekerja yang sentiasa berulang alik dengan menaiki keretapi.
Tiket yang hanya dicetak atas kertas A4 jelas mencatatkan butir-butir perjalanan esok. Tarikh perjalanan, 13 April 2012, bertolak pada jam 8:02 dari stesen "Ve. Mestre" iaitu Venezia Mestre dan dijangka tiba di stesen "Milano Centrale" pada jam 10:25 pagi. Nombor train ialah 9708 dan kami mendapat tempat duduk di Koc 6, nombor 104-102. Harap-harap tempat duduk ini ialah sebelah menyebelah...









No comments:
Post a Comment