Tuesday, April 23, 2013

Kenangan di Itali 2012... Part 5

12 April 2012 (Khamis)
Sedang menunggu feri di Pulau Venice...

Kami sudah berjaya menyelesaikan urusan pembelian tiket di Stesen Keretapi Mestre. Sekarang ialah masa untuk menuju ke Pulau Venice! Sebaik keluar sahaja dari stesen, terdapat bas yang sudah menunggu untuk ke Pulau Venice. Seperti biasa, kami terpaksa membeli tiket 1.50 euro untuk seorang terlebih dahulu sebelum menaiki bas. Sebaik menaiki bas, tiket itu akan di scan di mesin yang disediakan.

Feri yang mengangkut penumpang di Pulau Venice...


Orang di dalam bas agak tidak ramai dan perjalanan menuju ke Pulau Venice pun tidak lama. Bas bergerak melalui jalan utama iaitu Corso del Popolo dan seterusnya memasuki Via Liberta. Melalui Via Liberta, bas terus menyeberangi lautan melalui Ponte della Liberta untuk ke Pulau Venice. Kelihatan jelas industri perkapalan di sekitar kawasan ini. Perjalanan mengambil masa hampir 20 minit dan akhirnya kami sudah tiba di Pulau Venice!
Musim bunga di Pulau Venice!
Alhamdulillah, cuaca yang cerah sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan kami berasa selesa di pulau ini. Namun, kesejukan masih terasa! Lebih kurang jam 12:30 tengahari, bas berhenti di satu-satunya stesen di pulau ini, iaitu stesen terakhirnya. Di hadapan kami kelihatan bangunan lama yang telah diubah menjadi hotel, Hotel Santa Chiara. Nampaknya, bangunan-bangunan klasik masih lagi dipelihara di pulau ini. Isteri saya terus mengajak saya untuk mencari tiket bot untuk ke Pulau Murano yang terletak di Timur Laut Venice. Kami terus menghala ke jambatan yang berdekatan dengan stesen bas iaitu Ponte della Costituzione. Di bawah jambatan itu terdapat banyak kaunter yang menjual tiket feri. Untuk melawat pulau Venice, adalah lebih mudah menaiki feri kerana ia boleh membawa kita melalui terusan ke tempat-tempat yang menarik.
Bot dan feri menjadi pengangkutan utama di sini...
Kami membeli tiket berharga 16 Euro seorang untuk menaiki feri. Tiket ini boleh digunakan untuk pergi ke mana-mana sahaja di pulau Venice dalam masa sehari! Untuk pergi ke Murano, kami perlu mencari feri yang melalui laluan bernombor 4.1 iaitu melalui P. la Roma - Giudecca - S. Zaccaria - F. Te Nove - Murano. Malangnya, bila sahaja sampai di hentian P. la Roma, feri baru sahaja meninggalkan kami. Kami agak kecewa, masa amat mencemburui kami. Berdasarkan maklumat penjaga tiket di P. la Roma, beliau menasihatkan untuk menaiki feri dilaluan 4.2.

Hentian feri.... Ia melalui laluan 4.2 dan 5.2...
Laluan 4.2 juga menuju ke Murano melalui Ferrovia - F.Te Nove - Murano. Kami pun terus bergegas ke Ferrovia. Tempat menunggunya kelihatan agak usang. Mungkin kerana tidak ramai yang ingin naik di F. Te Nove berbanding P. la Roma. Air lautnya kelihatan agak keruh. 

Terusan di Pulau Venice...

Setelah agak lama menunggu, tibalah feri penumpang yang ditunggu-tunggu. Ferinya tidaklah terlalu besar, sekadar boleh memuatkan sekitar 50 orang penumpang. Terdapat seorang pemandu feri dan pembantunya. Setiap kali berhenti, pembantunya akan membuka pintu, melabuhkan tali kapal ke hentian dan menguruskan penumpang yang akan naik dan turun. Kedua-dua mereka memakai pakaian seragam khas. Kami beratur dan terus mengambil tempat di dalam feri. Pelancong agak tidak ramai. Mungkin kerana ini antara hentian yang tidak popular kerana tidak melalui terusan utama. 
Murano yang unik...
Sepanjang perjalanan ke Pulau Murano, banyak juga pemandangan menarik yang boleh dilihat, terutamanya bangunan-bangunan klasik. Sangat menarik kerana mereka masih mampu memeliharanya meskipun sudah berumur ratusan tahun. Sepanjang perjalanan ke Murano, saya masih belum dapat menggambarkan keistimewaan Murano. Agak sedikit kesal kerana tidak sempat membuat homework. Tidak mengapa, saya tetap mempercayai isteri saya yang benar-benar ingin ke situ. Pasti ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
Terusan yang menjadi laluan utama di Murano....

Pulau Murano terletak agak jauh sedikit dari pulau Venice. Sebelum sampai ke sana, terdapat sebuah pulau kecil yang dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Feri turut singgah di sini untuk menurun dan mengambil penumpang. Pulau ini dipanggil Isola di S. Michele. 
Proses membuat cenderamata dari kaca...

Sesampai sahaja kami di Pulau Murano, kami terus mengikut pelancong yang lain menuju ke tempat pembuatan kaca. Rupa-rupanya, pulau ini masyhur sebagai tempat membuat kaca! Kami ditunjukkan bagaimana kaca dibentuk untuk menjadi gelas dan sebagainya. Skil mereka diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kagum juga saya melihatnya. Terdapat banyak kedai menjual cenderahati dalam bentuk kaca, namun kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar. 
Murano...

Selain dari tempat membuat kaca, pulau ini juga sama seperti pulau Venice apabila terdapat banyak bangunan-bangunan lama. 

Pulau Murano... Masih sejuk walaupun sudah tengahari...

Kami mengambil kesempatan untuk berjalan kaki di kawasan ini sambil menikmati hembusan segar dari lautan angin Mediterranean... Cantik dan indah.... Tidak terasa kehangatan matahari kerana suhu sekeliling yang tidak panas.
Kedai-kedai makan yang terletak di kaki lima...
Selesai sahaja menjelajah ke Pulau Murano, termasuklah membeli beberapa cenderahati untuk rakan-rakan, kami terus bergegas menaiki feri untuk ke Piazza San Marco. Pelancong agak ramai di sini. Meskipun terdapat beberapa Gondola yang sudah menanti, kami merasakan tidak sesuai untuk menaikinya memandangkan kesejukan yang agak kuat terasa ditambah dengan kesuntukan masa untuk solat jamak Zohor dan Asar. 
Gondola yang sudah menunggu...
Selang beberapa minit, kami meneruskan perjalanan dengan menaiki feri untuk pergi ke P. la Roma melalui terusan utama. Oleh kerana cuaca agak sejuk, saya sudah terasa untuk membuang air kecil yang teramat sangat. Sebaik sampai di P. la Roma, saya bergegas ke tempat menunggu bas kerana saya yakin pernah menemui papan tanda menunjukkan arah tandas. 
Jambatan memang sangat banyak dibina di sini...
Alhamdulillah, sempat bertemu dengan bilik air meskipun terpaksa membayar 1.50 Euro! Tandasnya bersih dan sangat selesa. Berpadanan dengan harga masuknya! Selepas keluar dari bilik air, kami masih sempat membeli cenderamata untuk dibawa balik memandangkan harganya agak murah di sini, iaitu 10 Euro untuk 4 biji cenderamata berbanding semasa di Pulau Murano. Mungkin agaknya tempat ini bukanlah tumpuan pelancong.
Pemandangan Pulau Venice dari dalam feri...
Sebaik bas dengan nombor 4L tiba, kami bergegas menaikinya untuk pulang. Hari sudah semakin gelap. Tiket pergi balik masih boleh digunakan. Kami sempat singgah di kedai Gerusalemme yang terletak di via Carducci untuk membeli makan malam dan diikuti berjalan kaki melalui via costa, Corso del Popolo dan via Torino menuju ke hotel. Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di hotel dan sempat solat zohor dan asar secara jamak..... Penatnya.... Malam ialah masa untuk berehat... 

No comments:

Post a Comment