![]() |
| Add caption |
Saya mengenalinya semenjak saya mula masuk ke Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah Ipoh pada tahun 1990 di Tingkatan Satu. Beliau merupakan pengetua sekolah kami pada waktu itu, iaitu antara sekolah berasrama di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak selain dari SMA Taayah Ipoh. Saban minggu, beliau akan memberi ucapan sewaktu perhimpunan hari Isnin, dan kadang-kadang juga beliau turut menjadi imam dan memberikan kuliah maghrib di surau sekolah, yang pada masa itu terletak di dalam dewan badminton. Beliau tegas dengan pendiriannya, dan sentiasa serius dengan pelajarnya. Dengan hanya menaiki volvo tua berwarna putih, itulah kenderaannya keluar masuk dari kawasan sekolah. Beliau juga sebenarnya ada mempunyai kaitan kekeluargaan dengan ayah, bahkan beliau juga sempat belajar dengan arwah tok Abdul Aziz ketika masih kecil.
Pada penghujung tahun 1992 menjadi titik yang memisahkan hubungan kami secara rasmi antara pelajar dan pengetua. Seingat saya, sebaik mendapat keputusan peperiksaan SRP, saya bersama dengan beberapa rakan-rakan yang lain telah dipanggil masuk ke pejabat beliau. Agak mendebarkan kerana kebiasaannya, hanya pelajar-pelajar yang bermasalah sahaja berpeluang untuk masuk ke bilik beliau. Antara ucapannya yang terawal ialah beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan kami dalam peperiksaan SRP baru-baru ini. Dan yang lebih mengejutkan kami ialah beliau memberitahu bahawa kami berlima telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, tempat di mana beliau juga pernah menuntut satu ketika dahulu. Beliau bersungguh-sungguh menggalakan kami untuk menerima tawaran itu kerana pada masa itu, kemasukan ke KISAS adalah melalui tawaran sahaja dan bukan melalui permohonan. Saya yang sudah biasa berada di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah agak keberatan menerimanya, namun memikirkan tentang peluang untuk belajar di tempat baru di tambah lagi dengan nasihatnya menjadikan saya membulatkan tekad untuk menerimanya.
25 Jun 2013, Selasa, saya mendapat SMS dari ayah yang memaklumkan Ustaz Zamri telah pulang ke alam barzakh lebih kurang jam 10 pagi... Alhamdulillah saya sempat melawatnya pada hari Ahad, dan sempat mendoakan kebaikan untuknya. Moga Allah membalas jasa baiknya yang telah mendidik kami menjadi manusia-manusia yang mengenal Penciptanya... Al-Fatihah...

No comments:
Post a Comment