Monday, September 10, 2012

CUTI OH CUTI…!


Setiap kali tibanya cuti yang panjang, hati saya mula menyanyi riang. Siapa yang tak suka berehat bersama keluarga. Pantang berseorangan, pasti otak ini berkira-kira mengatur bermacam-macam rancangan untuk mengisi masa kualiti bersama insan-insan tersayang.

Bercuti bagi meraikan anak sulung kami. Gambar bersama sepupunya, Iman Nurhannan.

"Mama tak cuti ke Jumaat ni? Kenapa boss mama tak bagi cuti macam kami semua?" tanya Kak Yong yang nampaknya semakin bijak bertanyakan soalan-soalan "menguji minda" mamanya ini.

"Mama tak ambil cuti Jumaat kerana lazimnya hari akhir sebelum raya akan diberi perlepasan separuh hari dan mama akan pulang awal tengahari itu" terang saya sambil berjanji untuk pulang lebih awal berbanding hari-hari Jumaat yang lain sebeum ini.

Saya memang teliti dalam memilih cuti kerana setiap cuti saya sangat berharga untuk disimpan bagi persediaan 1001 tujuan penting demi keluarga. Terkadang cuti kecemasan atas keperluan kesihatan anak, cuti kerana dipanggil mak-ayah untuk sebarang masalah orang tua, malah ada juga cuti yag diambil semata-mata untuk menghargai pasangan atau cuti khas bagi menghadiri keraian-keraian penting di sekolah anak-anak. Semua itu tanggungjawab. Dan kerana itu saya belum pernah ambil cuti pada hari akhir sebelum raya kerana maklum akan "cuti separuh hari" tersebut (walaupun tidak pernah diumum secara rasmi).

Mudah-mudahan anak-anak mama bertambah kuat.. 
cuti juga perlu disimpan untuk waktu-waktu kecemasan seperti ini.

"Kak yong jangan risau, kita sama-sama bercuti mulai Sabtu selama seminggu. Lagipun, mama dah minta cuti tambahan pada cuti hari kebangsaan untuk hujung minggu yang panjang minggu hadapan!" Afiah senyum, nampak berpuas hati dengan penjelasan lanjut itu.


Betapa tingginya harapan anak-anak untuk selalu dapat bersama mama, tinggi lagi hasrat hati mama untuk kembali pulang "berkhidmat" untuk keluarga di Ipoh. Tapi kita semua kena berlapang dada menerima didikan daripadaNya Yang Lebih Mengetahui segala hikmah pengajaran di sebalik perpisahan sementara ini.


Namun, sehebat mana pun rasa gembira untuk bercuti.. betapa teruja perasaan ini menanti hari untuk pulang bercuti, hati kecil yang dalam ini selalu berpesan pada diri sendiri.. "Jangan lupa di penghujung cuti itu nanti duhai hati.. Kena tabah, kena cekal, kena kuat! Kerana perpisahan selepas lama cuti bersama lazimnya akan amat sangat menguji naluri hati ibu ini!"




Bercuti kerana menemani suami membentangkan kertas di Seminar.


No comments:

Post a Comment