"Ayah, kejar la Naqqib..." panggil si kecil tu.
Mukanya tersenyum-senyum, menambah rasa geram di hati.
![]() |
| Munaqqib dengan mainan kegemarannya : Lori! |
"Ayah penat la, bulan puasa ni..." jawab saya, sengaja jual mahal.
"Ayah, kejar la Naqqib..." rengeknya, sambil berdiri dan bersedia untuk lari.
"Hah ayah kejar ni," jerit saya sambil berlari-lari anak mengejarnya.
Munaqqib berlari terketek-ketek. Maklumlah, dalam usia yang hampir menjangkau 2 tahun setengah, lariannya tidak sehebat larian ayahnya!
"Hah dah dapat tangkap Munaqqib" saya menangkapnya sambil memeluknya erat-erat. Menggeleteknya sampai dia ketawa kegelian. Ketawa yang membahagiakan mama dan ayah.
Itulah si kecil yang bernama Munaqqib, yang setiap hari menunggu ayahnya balik ke rumah semata-mata nak main kejar-kejar...
Di keheningan malam yang penuh keberkatan ini, bulan yang penuh kemuliaan, didoakan agar semua anak-anak ayah akan menjadi anak-anak soleh dan solehah, yang rajin beribadah memohon doa dan ampun daripada Allah, mendoakan juga untuk mama dan ayah...
Selamat malam anak-anak, yang sedang lena diulit mimpi, moga-moga Allah merahmati dan memberkati keluarga ini, sebagaimana Allah memuliakan keluarga para Anbiya' dan Mursalin dan menjadikan dari kalangan mereka anak-anak dan keturunan yang soleh :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga 'Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka). (Ali 'Imran : 33)
Dari keturunan Nabi Ibrahim, lahirlah Nabi Muhammad, Rasulullah, penutup segala nabi. Begitu juga dengan keturunan 'Imran, daripadanya lahirlah sebaik-sebaik wanita iaitu Maryam dan juga anaknya yang merupakan Rasul yang dimuliakan, 'Isa a.s.


No comments:
Post a Comment