Sunday, September 23, 2012

Jom Berkelah...

"Abangah, kenapa baring kat tepi longkang tuh?" saya menyergah Abangah dengan suara yang agak tinggi. Berbaring kat tepi longkang di tepi rumah tanpa apa-apa pelapik. Berbumbungkan payung, berlapikkan baju sendiri. Afwah dan Munaqqib turut serta berbaring. Mogok apa pulak yang ditunjukkan ni?

"Abangah nak main khemah-khemah, boleh berkelah," jawabnya dengan nada selamba, tanpa ada rasa bersalah.

"Abangah, kan ke kotor tuh, kenapa tak cari pelapik? Dulu dah ada khemah, tapi dirosakkan. Sekarang nak buat khemah pakai apa?" saya menerangkan pada abangah kenapa tak boleh baring tepi longkang, yang sebenarnya hanya berfungsi ketika hujan sahaja. Longkang ini sentiasa kering kerana musim sekarang agak jarang hujan. Dulu, memang kami ada khemah mainan, tapi habis dirosakkan, itulah namanya budak-budak.

Semuanya gembira dapat berkelah tepi rumah... Walaupun tak dapat khemah!



Selepas menjelaskan jawapan saya, saya meneruskan kerja-kerja berkebun, mengangkat pokok-pokok bunga yang baru dibeli dari kedai untuk ditanam. Jarang-jarang sangat berkebun, sekali sekala terasa nak menanam pokok bunga.

"Ayah, abangah bawa nih!" jerit Kak Yong. Apa lagi la pulak yang dibuat Abangah ni. Saya yang sudah selesai mengangkat pokok bunga, pergi mendapatkan Kak Yong. Hah, kan betul, memang betul-betul dia pergi cari pelapik untuk berkelah dan diletakkan di luar rumah.

"Takpe, Kak Yong letak kat tepi tuh..." saya membantu Kak Yong menyiapkan tempat berkelah mereka.
"Kak Yong angkat yang kat sana, ayah betulkan yang kat sini," saya mengajar Kak Yong cara menyusun tikar. 

"Ayah, abangah nak makan tengah hari kat sini, boleh tak?" tanya abangah.

"Boleh, pergi tanya mama..." pesan saya pada abangah.

Abangah yang sungguh teruja terus berlari mendapatkan mamanya.

"Mama, abangah nak makan kat sini, ye mama!" pesan abangah dari luar tingkap dapur.

Mama ketika itu sedang sibuk memasak di dapur.

"Tapi mama belum siap masak lagi.... nanti mama bagi ye," balas mama.
Masa untuk makan! Afwah tengah merajuk dengan Kak Yong...

Abangah tersenyum gembira. Misinya untuk berkelah telah berjaya...

"Mama, abangah nak ambil bantal ye!"

Itulah abangah, macam-macam dalam kepalanya, sentiasa kreatif menyelesai masalah. Semuanya adalah permainan. Biarkan anak-anak berkreatif, kerana inilah masanya untuk mereka menjelajahi dunia mereka tanpa rasa takut, penuh dengan angan-angan. Berani biar bertempat! 

Seronok tengok mereka bermain, mendengar mereka berkomunikasi, belajar hormat menghormati dan bertanggungjawab...

Nanti, jangan lupa kemas balik tau! 

No comments:

Post a Comment