![]() |
| Anak-anak di pantai Seberang Takir, Terengganu... Tempat ayah dibesarkan dulu-dulu... |
"Ayah, mama ane?" Tanya Munaqqib sebaik terbangun dari tidur. Umurnya sudah mencecah 2 tahun setengah, cakapnya masih pelat-pelat.
Jam di dinding sudah menunjukkan jam 6:30 pagi. Perlu segera bersarapan dan menghantar anak ke sekolah.
"Mama dah balik..." jawab saya.
"Mama ane?" tanya lagi Munaqqib, agaknya kurang berpuas hati dengan jawapan saya. Tambahan pula, baru malam tadi dia tidur bersama mamanya.
"Mama dah pergi kerja kat KL..." jawab saya dengan jawapan yang lebih panjang, dengan harapan dia akan faham.
Saya sedang bersiap-siap dalam bilik, menyikat rambut, membetulkan baju, sementara Munaqqib yang tidur dengan saya malam tadi masih lagi berada di atas katil.
"Kak yong, mama ane?" soalan yang sama juga ditujukan pada Kak Yong yang baru sahaja masuk ke bilik. Kak Yong memang selalu bangun awal pagi, siap mandi dan berpakaian untuk ke sekolah.
"Mama dah balik..." jawab Kak Yong pada Munaqqib, jawapan yang hampir sama saya berikan. Kak Yong sudah darjah 2, dapat memahami keadaan mamanya yang hanya akan pulang ke Ipoh pada Sabtu dan Ahad sahaja.
"Kak Yong, mama ane?" sekali lagi soalan yang sama dilontarkan Munaqqib.
"Mama dah balik... Jom kita turun bawah..." Pujuk Kak Yong.
Munaqqib menurut jejak Kak Yong, turun katil dan terus menuruni anak tangga ke tingkat bawah.
Begitulah Munaqqib, yang masih lagi terasa kurangnya masa dia bersama ibunya. Terkejut agaknya apabila bangun dari tidur dan mamanya sudah tiada di sisi. Mamanya sudah bertolak pulang seawal pagi, sebelum subuh.
Kehidupan mesti diteruskan. Apabila selalu berpisah, barulah masa yang ada akan sentiasa dihargai, setiap detik, setiap saat, minit, dan jam...
Hargailah masa bersama ibu bapa, anak-anak dan keluarga, kerana pada suatu hari perpisahan pasti berlaku jua!

No comments:
Post a Comment