Pokok perlukan udara sebagai asas keperluan bernyawa, air sebagai sumber makanan untuk kekal bertenaga dan cahaya sebagai sumber sokongan untuk menggalakkan pertumbuhannya. Hasilnya, pokok yang tumbuh sihat akan banyak memberi manfaat kepada seisi dunia sejagat! Begitu juga manusia.
Semua orang perlukan oksigen bersih untuk bernafas, makanan untuk kekuatan dan kesihatan manakala kasih-sayang pula sebagai sumber sokongan kelangsungan hidup yang membahagiakan agar insan tersebut juga mampu memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di sekitarnya.
Kasih sayang secara umumnya boleh dikongsi antara semua manusia melalui pelbagai cara yang mudah. Kasih sayang tidak hanya terhad kepada ikatan khusus antara ibubapa dan anaknya, abang kakak dan adiknya, di antara pasangan suami isteri mahupun setakat pasangan kekasih. Manfaat kasih sayang yang bercambah secara harmoni di mana-mana sekalipun pasti dapat dirasai oleh komuniti sekitarnya.
Tempat kerja yang paling menyeronokkan sebenarnya tergantung kepada sejauh mana rasa kasih dan sayang semua warga pejabat itu dihayati dan disemarakkan di antara mereka, kemudian baru di sokong dengan faktor fizikal yang menambahkan sahaja rasa keseronokan tersebut. Tapi bagaimana untuk berkongsi rasa kasih sayang ini dengan pendekatan yang praktikal?
Senyum adalah antara cara mudah yang diajar baginda Rasulullah s.a.w. Memang dunia akan aman kalau semua manusia memberi senyuman antara kita! Senyuman yang ikhlas akan memadamkan 1001 kelemahan seseorang.
Tolong… terima kasih… maaf. 3 perkataan keramat yang mampu merendahkan egois kita sesama manusia. Walaupun kata-kata ini nampaknya kecil, tetapi ia memberi makna yang sangat besar kepada yang menerimanya. Dan yang paling aneh, 3 perkataan yang nampak mudah ini rupanya bukan mudah untuk diungkapkan! Suka saya kongsikan sebuah kisah pendek berkaitan 3 perkataan magis ini yang pernah dipetik dalam satu ceramah motivasi untuk sama-sama kita ambil pengajaran daripadanya.
Seorang pengarah yang akan pencen di satu jabatan sedang diraikan dalam satu majlis perpisahan bersama semua warga pejabatnya. Seusai acara jamuan makan, semua telah bersedia memasukkan hadiah perpisahan masing-masing ke dalam kotak yang disediakan pihak urusetia sebagai simbolik penyerahan cenderamata kepada pengarah kesayangan mereka. Tiba-tiba seorang pelayan pejabat bangkit memohon untuk membacakan "surat perpisahannya" yang dibungkus kemas di dalam sebuah bingkai berkaca. " Saya tidak banyak berurusan dengan Tuan Pengarah dan jarang sekali dapat berjumpa dengan tuan. Namun, ketinggian budi tuan amat terkesan. Tuan tidak pernah lupa meminta "TOLONG" sedangkan tuan boleh mengarah apa sahaja kepada saya, tuan juga tidak pernah gagal ucapkan "TERIMA KASIH" tiap kali melihat saya membuka dan menutup pintu bilik tuan walaupun itu memang tugas saya yang telah dibayar dengan gaji.. malah tuan menyebut "MAAF" atas tiap tugasan tambahan yang tuan arahkan atas keperluan semasa. 3 ucapan ini amat ringkas namun amat berharga buat kami apabila ia hadir dari seorang Pengarah yang budiman. Selamat berbahagia tuan!"
Jom kita amalkan untuk keseronokan dan kebahagiaan di rumah juga. Hargailah insan-insan tersayang dengan menyemai kasih-sayang antara kita. Mudah. Senyum dan 3 perkataan mudah cukup untuk menyatakan penghargaan! Nampak mudah bukan..? :)



No comments:
Post a Comment