Seperti biasa, pagi-pagi lagi saya akan menghantar Kak Yong dan Abangah ke sekolah yang terletak lebih kurang 10 km dari rumah. Selepas itu giliran Afwah pula untuk dihantar ke sekolah.
![]() |
| Afwah makan sampai habis, sampai Munaqqib pun kena gigit jari je, tak boleh nak makan lagi... |
"Afwah nak puasa tak hari ini?" soal saya sebelum Afwah turun dari kereta.
Afwah yang umurnya sudah masuk 5 tahun mengangguk perlahan.
Semalam, hari Rabu dia tidak ke sekolah. Demam dan batuk-batuk.
Pagi tadi, alhamdulillah, suhu badannya sudah kembali normal.
"Kalau hari ini Afwah tak larat, tak payah la puasa," pesan saya pada Afwah.
Kesian pada Afwah, yang nampaknya begitu bersemangat untuk berpuasa seperti abang dan kakaknya.
Petang tadi, Afwah kelihatan tidak bermaya. Mungkin sebab puasa. Namun apabila diperiksa suhunya, demamnya naik semula.
Alhamdulillah, dia masih ingin meneruskan puasanya, meskipun dalam keadaan yang tidak selesa...
"Ayah, dahaga la..." Afwah membuka bicara pada petangnya. Kesiannya kat Afwah.
"Tak apa, lagi 2 jam kita berbuka..." pujuk saya.
Sabarlah anak-anak, puasalah medan untuk kita melatih sifat sabar.
Berpuasa kerana Allah, bersabarlah menunaikan perintah-Nya...
Bersabar melakukan kebaikan, bersabar meninggalkan larangan-Nya...
Mudah-mudahan, Allah akan mengurniakan kesihatan pada Afwah, sihat seperti sedia kala, dapat main dengan mama... Insya Allah mama akan tiba di rumah esok petang...
Allah berpesan melalui lidah Nabi-Nya :
"Dia meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya demi diri-Ku. Puasa itu untuk Ku dan Aku akan membalasnya. Satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda." (Hadith riwayat al-Bukhari).

No comments:
Post a Comment