Entry ini pasti akan jadi panjang! Tahun ini ayah dan mama banyak terlibat dengan tanggungjawab baru dan kami terabai dari menulis blog ni. Tapi... Terbuku pula rasanya kalau tak barkongsi tentang peristiwa-peristiwa penting yang telah anak-anak mama lalui pada 2016. Banyak suka-duka yang dirakam pada tahun ini. Mama rekodkan di sini sebagai memori perantauan hidup kita sekeluarga.
Awal tahun 2016 tidak banyak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Malah mama tak ambil cuti pada hari pertama sekolah seperti lazimnya kerana tiada yang memulakan hari pertama sekolah yang memerlukan proses pendaftaran dan memakan masa yang panjang serta memenatkan. Afiah menginjak ke darjah 6, Munqiz darjah 5 dan Afwah di tahun 3 SK Kg Seri Rahmat. Munaqqib juga meneruskan ke kelas 6 tahun di sekolah lamanya, PASTI Ammar. Bezanya cuma kami sedar anak sulung kami akan duduki peperiksaan besar yang pertama dalam keluarga kita pada September tahun ni, UPSR! Debaran sudah bermula.
Tarikh hari jadi mama tahun ni menjadi tarikh sejarah bila mak (Opah) mengadu sakit di tengah malam 28 Januari tersebut. Ibu mertua yang selama ini merupakan tulang belakang keluarga kami terpaksa melalui pembedahan setelah mendapat 2 nasihat pakar sakit puan. Syukur segalanya Allah permudahkan dan mak berjaya dibedah pada 26 Februari 2016 di Hospital Besar Ipoh. Syukur, mak pulih sepenuhnya 4 bulan selepas itu.
![]() |
| Mak sehari selepas pembedahan |
Berkebetulan dalam tempoh yang sama, mama pula bertukar pejabat dan mula melapor diri di JKR Perak pada 18.2.2016. Subhanallah.. sesungguhnya mama terharu dengan kebaikan pasukan pengurusan JKR dan seronok bersama-sama mereka. Lantikan Dato' Jamilol Nasir, Pengarah baru dan Tuan Abu Bakar sebagai Timbalan pada Mac dan April benar-benar melegakan banyak urusan ku di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan. Malah, mama mula aktif semula dengan PUSPANITA di sini setelah 4 tahun menjadi ahli pasif!
FEBRUARI juga menyaksikan perlantikan Ayah sebagai Timbalan Pengerusi PIBG SK Kg Seri Rahmat dan terlibat langsung dengan banyak program untuk anak-anak sekolah tersebut. Sekurang-kurangnya ada juga ruang untuk kami membantu sekolah tidak cukup murid ini. Mama sempat juga mengajar kawan-kawan sekelas Afiah yang bersemangat untuk persediaan UPSR. Dalam tempoh 1-2 bulan (sebelum bermula kelas tambahan formal oleh pihak sekolah) itu barulah mama kenal dan mula memahami tahap pendidikan luar bandar. Hakikatnya, semua anak-anak ini memang berpotensi. Mereka pasti mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah jika mendapat pendedahan dan peluang yang sama dengan kanak-kanak yang dibesarkan di bandar. Dan kini mama lebih menghayati dan menyanjung tinggi tokoh-tokoh hebat yang mendaki tinggi daripada seorang anak kampung!
![]() |
| Anak-anak SKKSR semasa hadir kelas di rumah mak |
Penglibatan kami dalam Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi (MTQM) menjadi lebih bermakna kerana dapat menghadiri beberapa sesi mesyuarat berkala yang lebih teratur tahun ini. Mungkin juga kerana semangat baru adinda kami, Nawfal yang menguruskan MTQM itu. Anak sulungnya lahir tahun ini setelah menanti selama 6 tahun perkahwinan. Ahmad Nu'man Fayadh menambah seri baru buat keluarga kami pada tanggal 12 April :)
![]() |
| Majlis tahnik Nu'man |
Diari ayah juga nampak semakin padat tahun ini dengan penganjuran beberapa program untuk PIBG. Seronok melihat hubungan UTP-SKKSR mula terjalin sebagai langkah pendedahan awal anak-anak ini untuk menjejaki universiti. Bukan sahaja lawatan rombongan sekolah ke UTP telah dapat dilaksanakan, mahasiswa UTP juga kerap turun menjalankan pelbagai aktiviti di SKKSR. Kusangkakan panas sehingga ke petang.. rupanya hujan di tengahari. Pergolakan hubungan Ibubapa-Guru SKKSR telah mencetus pengalaman hitam kami pada tahun 2016. Tidak mungkin dapat saya lupakan konflik ini apabila anak-anak AJK PIBG menjadi mangsa emosi pihak sekolah. Anak-anak ini dimalukan di pentas, dihukum tanpa siasatan malah persembahan akhir tahun (yang mellibatkan anak-anak PIBG) juga sanggup dibatalkan hanya kerana pertengkaran pihak ibubapa dengan guru dalam mesyuarat PIBG. Inilah yang dinamakan hitam-putih kehidupan, syukur kami laluinya dengan tenang. Mama tetap menjenguk ke sekolah bertanyakan perkembangan pelajaran anak-anak dengan guru-guru, hadir semua majlis seperti lazimnya malah meneruskan pula pembelajaran Munqiz dan Afwah untuk tahun 2017 sambil mengharapkan perubahan positif pihak pentadbiran sekolah.
Dalam kesibukan ayah, naskhah "3 Tun" hasil karangannya berjaya diterbitkan pada bulan Ogos bersempena bulan kelahirannya tahun ini. Anak-anak seronok bila nama mereka dicatat di bahagian prakata oleh penulis :) semoga ayah akan terus dilapangkan masa berkarya untuk perkongsian ilmu dengan masyarakat.
OKTOBER tahun ini kami lalui sebuah lagi ujian baru. Rumah kami dipecah orang. Ayah menemani tok baba ke Kuala Kangsar manakala tok mama bersama kami merasai getir suasana cemas malam itu. Syukur atok, ayah ude (Halim) dan ayah su (Fuad) pantas datang membantu kami. Prosedur siasatan selepas laporan polis dibuat hanya selesai pada kira-kira jam 1.30 pagi. Kami terus memasang sistem penggera serta-merta sebagai langkah keselamatan di masa hadapan.
Penutup tirai 2016 disudahi dengan proses permohonan sekolah menengah buat Kak Yong dan sekolah baru Tahun 1 untuk Munaqqib. Syukur. kedua-dua anak ini berjaya menamatkan persekolahan dengan meninggalkan kenangan manis buat catitan sejarah peribadi masing-masing. Afiah mendapat Anugerah Tokoh Ko-kurikulum dan keputusan UPSR terbaik di sekolahnya. Munaqqib dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Terbaik Kawasan Gopeng 2016. Alhamdulillah. Anak-anak tangga untuk kesemua anak-anak mama masih jauh perlu didaki. Semoga kita semua kekal sebagai hamba Allah yang merendah diri. Teruskan berjuang!
Ilham dan Munaqqib. Kiri: mewakili PASTI Ammar untuk acara azan dan hafazan.
Kanan: Sama-sama menduduki peperiksaan untuk memasuki SRA al-Hidayah di Tahun 1.








No comments:
Post a Comment