13 April 2012, Jumaat
 |
| Pemandangan Duomo dari atas bas... |
Perjalanan kami dari Duomo of Milan diteruskan ke tempat seterusnya. Kami menuju ke Sforza Castle, satu kawasan kota istana yang amat tenang, setenang pancutan air yang diletakkan di hadapan istana ini. Bukan setakat itu, ia turut dihiasi dengan warna warni bunga yang cukup menyegarkan mata yang memandangnya. Menurut ceritanya, istana ini telah dibina pada kurun ke-15 masihi oleh Francesco Sforza, pemerintah Milan pada masa itu. Ia kemudiannya telah dibesarkan sedikit demi sedikit sehinggalah pada kurun ke-18. Istana ini masih kelihatan kukuh dengan dindingnya yang tinggi dan kawasan dalamnya yang amat luas. Kelihatan istana ini telah digunakan sebagai kubu pertahanan memandangkan kelihatan beberapa tempat meriam yang diletakkan di sudut-sudut yang strategik menghala ke luar kota.
 |
| Pemandangan dari bulatan di hadapan Sforze Castle. |
 |
| Bunga-bungaan di taman di hadapan Sforze Castle... |
 |
| Sforze Castle yang masih kukuh berdiri... |
Di dalam kota ini, terdapat ramai pelancong yang masuk melawat, terutamanya dari Itali sendiri. Bayaran lawatan adalah percuma. Memandangkan masa yang kian suntuk, kami hanya sempat masuk dan melihat kawasan utama kota ini tanpa sempat menjelajah keseluruhan kota ini. Oleh kerana cuaca yang agak sejuk, mendung dan sedikit gerimis, saya kerap terasa untuk membuang air kecil dan perlu segera mencari tandas dalam kota ini untuk melepaskan hajat!
Selesai perjalanan melawat Sforza Castle, kami menaiki bas semula untuk ke Stesen Keretapi Milan. Tiket pulang kami ialah pada jam 7:05 malam. Sesampai sahaja di stesen keretapi Milan, saya mengajak Kak Gayah dan rakannya untuk pergi ke Masjid di Milan menunaikan solat zohor dan asar dengan menaiki teksi. Agak mahal juga teksi kerana dibayar menggunakan matawang Euro, ditambah dengan masa menunggu untuk kami selesai solat. Seingat saya tambangnya lebih dari 30 Euro.
Alhamdulillah, sesampai sahaja saya di surau, jemaah masih ramai kerana mereka sedang menunaikan solat asar. Agak ramai juga bilangan jemaah di sana, lebih kurang ada 10 saf. Dalam kesejukan cuaca di sana, saya mengambil wuduk dan terus menunaikan solat zohor dan asar secara jamak dan qasar. Dapat juga berkenalan dengan orang-orang Islam di sana yang kebanyakannya datang dari luar Itali.
Sebaik sahaja selesai solat, kami terus meminta teksi yang sama menghantar kami semula ke stesen keretapi. Masa yang masih berbaki digunakan dengan sebaiknya. Kami terus ke kedai berhampiran untuk melihat dan membeli beberapa barang-barang sebagai cenderamata dan beg buatan Itali. Selesai sahaja membeli sedikit barang, kami terus berlari-lari anak ke arah stesen keretapi untuk mengejar masa.
Keretapi akan bergerak tepat pada jam 1905. Sebaik menaiki gerabak, kelihatan hampir kesemua kerusi sudah penuh diduduki. Kami terus mencari nombor tempat duduk kami. Gerabak yang kami duduki berbeza dengan gerabak kak Gayah. Malangnya, tempat duduk kami sudah diduduki oleh orang lain. Maklumlah, waktu pulang kerja, masing-masing sudah kepenatan dan berusaha untuk mencari tempat duduk kosong. Kami yang turut kepenatan, meminta 2 penumpang Itali itu untuk mengosongkan tempat duduk kami sambil menunjukkan tiket yang sudah kami beli. Mereka terus bangun dan kami terus duduk di bangku yang dikosongkan. Kesian juga melihat mereka terpaksa berdiri, namun memikirkan kami juga penat dan perjalanan masih ada selama 2 jam setengah, sememangnya kami yang patut duduk di tempat itu. Sebaik sahaja duduk di kerusi, kami terus berehat memejamkan mata, kerana di luar sudahpun kelihatan gelap menandakan matahari yang sudahpun melabuhkan tirai cahayanya. Apabila tiba di stesen Venice pada jam 9:30 malam, kami berempat terus mengambil teksi untuk pulang ke hotel. Bayaran teksi hanyalah 18 Euro. Terasa berbaloi perjalanan seharian kami di Milan meskipun kami tidak berkesempatan berjalan ke seluruh tempat-tempat menarik di bandar Milan...
 |
| Suasana di tengah-tengah Bandar Milan, jelas menunjukkan interaksi secara harmoni antara modernisasi dan tradisi... |
No comments:
Post a Comment