Sunday, June 8, 2014

Kenangan di Itali 2012 (Part 6)

13 April 2012 (Jumaat)

Bergambar di hadapan hotel sambil menunggu teksi... Sejuuuukkkk....

Pagi Jumaat yang mendamaikan. Hari ini kami akan pergi mengembara ke Milan. Hajat di hati ingin ke Rome, tetapi memandangkan perjalanan yang agak jauh dari Venice, serta masa suntuk yang kami miliki di Itali menyebabkan niat itu hanya tinggal sebagai niat sahaja. 


Tiket keretapi Venice-Milan

Tiket pergi balik sudah dibeli semalam di Stesen Keretapi Mestre Venice, harganya dalam Euro 70 untuk 2 orang. Keretapi akan bertolak tepat jam 8:02 pagi dan dijangka tiba pada jam 10:25 pagi. Selesai bersarapan, kami beserta dengan Kak Gayah dan rakannya bertemu di luar hotel. Teksi sudah ditempah lebih awal di kaunter hotel. Terdapat juga beberapa penghuni hotel lain yang ingin menaiki keretapi awal pagi, sama seperti kami. Teksi tiba awal dan terus membawa kami menuju ke Stesen Keretapi Mestre Venice. Selepas membayar tambang, kami terus menuju ke tempat menunggu keretapi, supaya kami boleh melakukan sedikit tinjauan tentang platform dan arah yang perlu kami tuju untuk ke Milan.

Bergambar sebelum menaiki keretapi...
Keretapi yang ditunggu tiba pada masanya. 8:02 pagi keretapi bertolak menuju ke Milan dan dijangka tiba di sana pada jam 10:25 pagi. Ini adalah antara trip keretapi terawal. Memang sengaja kami pilih awal pagi agar dapat memanfaatkan masa yang panjang di Milan. Kami duduk di koc 6, berbeza koc dengan Kak Gayah serta rakannya. Dan tempat duduk kami terletak paling belakang yang menyediakan 3 tempat duduk berbanding 2 tempat duduk biasa. Perjalanan mengambil masa 2 jam 25 minit. Inilah masa untuk berehat sambil membuat catatan tentang perjalanan kami...

Meja yang agak besar untuk meletak laptop sambil membuat kerja...


Keretapinya agak selesa...
Sepanjang perjalanan menuju ke Milan, banyak pemandangan perkampungan yang dapat kami lihat. Antara stesen-stesen kecil yang sempat kami singgah ialah Padova, Vicenza, Verona dan Brescia. Suasana dalam keretapi agak senyap, masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Kami berdua pula sibuk untuk mengambil gambar di luar keretapi... Pagi yang nyaman...

Antara stesen keretapi yang disinggahi, Padova...

Pemandangan sepanjang perjalanan...
Verona Porta Nuova... 
Pemandangan sebuah pekan kecil Itali dari dalam keretapi...


Inspektor Tiket sudah sampai!

Sebuah bangunan dengan rekabentuk yang agak unik...

Pekan kecil yang tenang...

Inilah keretapi yang membawa kami ke Milan...

Kami tiba di Milan lebih kurang jam 10:30 pagi. Kelihatan begitu banyak landasan keretapi dan platform pelepasan untuk keretapi. Ternyata, Milan ialah antara stesen keretapi terbesar di Itali! Rekabentuk stesen ini masih mengekalkan ciri-ciri binaan Rom klasik. Saya begitu terpegun dengan saiz stesen ini yang amat besar. Suhu sejuk masih terasa meskipun masih berada dalam stesen ini.

Stesen keretapi Milan...


Ukiran klasik di stesen keretapi Milan...

Baru keluar dari bawah tanah stesen keretapi...

Bergambar berlatarbelakang stesen keretapi Milan...
Sebaik tiba di Stesen Keretapi Milan, kami mula tercangak-cangak membaca papan tanda. Pada fahaman saya, kami akan mengambil Tube untuk keluar dari Stesen Keretapi Milan dan seterusnya menjelajah bandar Milan. Memandangkan kami menghadapi masalah untuk berkomunikasi, kami akhirnya tidak berani untuk mengambil risiko menaiki Tube. Kami membuat keputusan untuk mencari bas Hop On Hop Off. Itulah cara paling mudah untuk menjelajah secara cepat di bandar Milan. Alhamdulillah, setelah bertanya ke sana ke mari diluar stesen, kami ditunjukkan tempat untuk menunggu bas itu. Kedudukannya hanyalah berhadapan stesen keretapi Milan! Kami bersegera untuk mencari bas itu kerana masa sentiasa mencemburui kami.


Sebahagian bangunan di Milan
Kami membeli tiket Hop On Hop Off untuk pusing-pusing di sekeliling Milan. Harganya dalam 22 Euro untuk seorang. Tiket ini sah digunakan untuk 48 jam! Terasa rugi pula sebab kami hanya ada dalam 12 jam sahaja di bandar Milan. Milan antara bandar yang agak besar di Itali. Apa yang saya tahu sebelum ini, Milan terkenal dengan pasukan bola sepaknya, AC Milan dan Stadium San Siro! Ketika menaiki bas, kami turut disediakan dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris oleh rakaman audio. 

Hop On Hop Off di Milan

Kami memulakan perjalanan kami dari Station keretapi Milano Centrale menuju ke tengah-tengah bandar Milan. Bandar Milan masih mengekalkan ciri-ciri bangunan klasik zaman Rom. Kami menelusuri kawasan membeli belah Beunos Aires, Porta Venezia, dan San Babila. Kami turun di Duomo, yang menempatkan antara gereja yang terbesar di Itali. Pelancong sangat ramai di sini. Terdapat juga pusat membeli belah yang agak besar, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri klasik Rom yang diberi nama Galleria Vittorio Emanuele II. Kami seterusnya makan tengahari di kawasan restoran berhadapan Duomo.


Bangunan lama masih dipulihara di Milan...
Duomo...



Di hadapan Galleria Vitturio Emanuele II

Pemandangan dari dalam bangunan Galleria...
Makan Tengahari di Duomo...

No comments:

Post a Comment