Sunday, January 4, 2015

Kenangan di Itali 2012 (Part 8)

14 April 2012 (Sabtu) 

Dalam Trem...

Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di Venice. Tengah hari nanti kami perlu check-out dari Hotel NH Laguna dan terus menuju ke lapangan terbang Marco Polo. Kapal terbang Qatar Airways dijadualkan bertolak pada jam 3:45 petang dan tiba di Qatar untuk transit pada jam 10:30 malam. Transit kali ini agak lama kerana kapal terbang seterusnya akan bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 7:50 pagi keesokan harinya. Ini bermakna kami perlu menghabiskan masa malam kami di lapangan terbang Qatar.

Trem yang kami naiki...



Pada hari terakhir, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan menghabiskan masa di sekitar bandaraya Mestre. Cuaca yang cerah disertakan dengan hembusan angin lautan Mediterranean terasa menyegarkan. Kami bersama-sama dengan Kak Gayah serta rakannya sudah berjanji untuk bertemu di bawah hotel, dan seterusnya bersama-sama berjalan kaki untuk ke stesen trem yang terdekat. Daripada hotel, kami menelusuri jalan Via Torino sehinggalah sampai ke jalan besar iaitu Corso del Popolo. Sesampai di sana, kami terus mencari stesen trem terdekat dan selepas membeli tiket, kami bersama-sama naik trem untuk ke pekan Mestre yang terletak lebih kurang 2 kilometer sahaja.

Bergambar di dalam trem bersama Kak Gayah dan rakannya...

Trem yang kami naik amat bersih dan kelihatan amat moden. Inilah kelebihan negara maju kerana mereka memiliki pengangkutan awam yang amat efisyen. Tidak ramai penumpang pada pagi itu memandangkan hari itu ialah hari Sabtu.


Kami sempat singgah di kedai kasut untuk melihat kasut yang dijual murah. Kak Gayah juga turut membantu untuk menunjukkan kepada kami kedai menjual coklat yang murah di pekan itu. Maklumlah, mereka telah terlebih dahulu sampai ke pekan ini. Coklat yang kami pilih ini ialah coklat yang akan dijadikan hadiah tanda ingatan kami kepada orang-orang di Malaysia. Selepas itu kami berpecah kerana Kak Gayah ingin berjalan ke tempat lain. Inilah juga pertemuan terakhir kami dengan beliau kerana kami akan terus pulang ke tanah air pada petang nanti. Terima kasih Kak Gayah kerana sudi menemani kami, moga kita bertemu lagi.

Melihat-lihat pasar minggu di Mestre, Venezia

Kami meneruskan perjalanan kami ke pasar minggu di Mestre. Banyak makanan dan bunga-bungaan yang dijual di sini. Cantik sungguh bunganya bersesuaian dengan cuaca di sini. Seronok melihat pemandangan pasar minggu di sini yang dihiasi warna warni jualan bunga yang sedang kembang mekar.

Banyaknya bunga yang berwarna warni...

Setelah puas merayau-rayau di pasar minggu, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke hotel, sambil-sambil singgah di kedai berdekatan membeli hadiah untuk di bawa pulang. Pekan ini bukanlah memiliki bangunan yang canggih dan baru, tetapi cara mereka menjaga dan memulihara bangunan-bangunan lama amat mengkagumkan. Kelihatan juga taman-taman permainan kanak-kanak di celah-celah bangunan kedai, sambil mendengar riang ketawa anak-anak yang bermain bersama ibu bapa. Terasa mereka begitu menghargai kehidupan berkeluarga meskipun sudah mencapai taraf negara maju.

Taman-taman kecil yang terselit di celah-celah rumah flat...

Masa untuk pulang sudah tiba. Sebaik sahaja tiba di hotel, kami terus mengemas barang-barang yang baru dibeli dan bersdia untuk check out. Sebelum pulang, kami sempat mengambil beberapa keping gambar terakhir di lobi hotel ini. Saya agak terkejut apabila diminta oleh penjaga kaunter hotel untuk menambah bayaran bagi cukai untuk pelancong. Rupa-rupanya, di Venice terdapat cukai khas yang perlu dibayar apabila pelancong bermalam di sini. Cukai ini digunakan untuk membiayai Venice sebagai salah satu warisan dunia. Walau bagaimanapun, cukainya tidaklah terlampau mahal, hanya beberapa peratus sahaja. 


Bersedia untuk check-in, pulang ke bumi Malaysia

Selepas menyelesaikan kesemua pembayaran, kami pun terus menaiki teksi untuk ke lapangan terbang Marco Polo. Perjalanan menuju ke lapangan terbang amat lancar. Tidak banyak kenderaan yang berada di jalan raya pada waktu ini.
Bersama dengan Muzammil di Marco Polo airport.

Setibanya di sana, kami bertemu dengan pensyarah dari UNISZA yang turut sama membentang kertas kerja, iaitu Noor Muzammil beserta isteri dan anak kecilnya. Mereka turut sama akan berangkat pulang ke Malaysia, namun menggunakan syarikat penerbangan berbeza. Kapal terbang kami akan bertolak pada jam 1545 petang dengan kapal terbang Qatar Airways QR962. Kami dijangka tiba di Doha pada jam 2230 malam. Sebaik sahaja masuk ke dalam pesawat, saya terus berusaha memejamkan mata, kepenatan selepas hampir seharian berjalan...


Sempat makan malam di Doha Airport... Dah lama tak jumpa nasi!
Sebaik tiba di Doha, kami yang sudah keletihan hanya perlu mencari tempat untuk berehat. Tetapi, sebelum melelapkan mata, kami sempat juga pergi berjalan-jalan dalam airport untuk mencari makanan Arab. Alhamdulillah, dapat juga kami merasa nasi selepas beberapa lama tidak dapat merasainya di Venice. Selesai sahaja makan malam, kami terus ke bahagian airport baru yang tidak ramai orang untuk cuba melelapkan mata. Kepala saya sudah mula terasa sakit kerana masa tidur yang sudah tidak teratur. Mata cuba dilelapkan namun suasana yang bising dan bercahaya tidak memungkinkan untuk kami tidur lena. Masuk sahaja waktu subuh, saya bergegas menunaikan solat berjamaah di dalam surau. Selepas itu, kami sudah bersedia semula untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Penerbangan kami seterusnya ialah dengan pesawat QR622 Airbus 330-300 yang bertolak dari Doha tepat pada jam 750 pagi dan tiba di KLIA pada jam 2040 malam. Sudah terasa rindu dengan 4 orang anak-anak kami yang ditinggalkan.

Alhamdulillah, perjalanan kami berjalan lancar, syukur atas segala nikmat kurniaanMu, Ya Allah!


Kapal Terbang yang membawa kami ke Kuala Lumpur!!!

No comments:

Post a Comment